19 tahun ibu setia di sisi anak istimewa
Sinar Harian
Mei 10, 2021 08:58 MYT
Mei 10, 2021 08:58 MYT
TAIPING: Kasih ibu sepanjang hayat. Itulah yang dilakukan oleh Janariah Nasi, 53, yang sentiasa menjaga serta menemani anak perempuannya, Nurul Akma Abdul Rashid sejak 19 tahun lalu hingga kini.
Janariah dan Nurul Akma yang tinggal di Kampung Kurnia Jaya Tambahan, Kamunting di sini tidak pernah berjauhan kerana si ibu sentiasa berada di sisinya siang dan malam termasuk memberi makan, minum serta tukarkan pakaian.
Nurul Akma yang kini berusia 19 tahun, mengalami kekejangan sejak lahir ketika berusia dua hari dan doktor terpaksa membedahnya bagi mengeluarkan air dalam kepala.
Sejak pembedahan itu, Nurul Akma terus terlantar terbaring kekejangan, malah matanya tidak lagi dapat melihat termasuk tidak mengenali siapa ibu dan bapanya.
Menjelang Hari Raya Aidilfitri pada Khamis ini, hati Janariah semakin pilu apabila mengenangkan kehidupan Nurul Akma yang merupakan anak bongsu dari tiga beradik itu.
“Kakak Nurul Akma, Nurul Atilah, 22, akan membelikan pakaian raya untuk adiknya.
“Tapi hati kami pilu apabila melihat anak-anak jiran lain dengan pakaian raya bergembira sambil bermain-main dengan rakan sebaya mereka.
“Nurul Akma walaupun dengan baju raya, namun terlantar kekejangan. Lebih pilu kerana sejak dilahirkan, dia tidak dapat mengenali dan melihat siapa ibu, bapa serta dua kakaknya,” kata Janariah sambil tidak dapat menahan sebak.
Suami Janariah, Abdul Rashid Mohd Isa, 52, juga sukar berjalan dan tidak lagi dapat bekerja kerana keuzuran.
Pasangan suami isteri itu turut mempunyai seorang anak perempuan yang sudah berumah tangga dan kini tinggal di Pulau Pinang.
Ibu dan anak istimewa itu diziarahi oleh Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Perak, Kader Maideen Hussain dan Setiausaha Penerangan Bersatu negeri, Datuk Dr Zulkifli Abdul Aziz, yang menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga tersebut pada Ahad.
Menceritakan perjalanan hidup Nurul Akma, Janariah berkata, dia akan memberi makan anaknya dengan bijirin lembut selain ubat kekejangan yang diberikan oleh pihak hospital dari masa ke masa.
“Makan, minum, tukar pakaian dilakukan sepanjang hari agar dia selesa. Saya bersyukur kerana Nurul Akma tidak merungut, malah saya sekeluarga begitu senang menjaganya,” katanya.
Janariah berkata, beban keluarganya sedikit berkurangan apabila mendapat bantuan kebajikan RM500 sebulan.
“Saya dan suami berdoa supaya dipanjangkan usia serta dimurahkan rezeki agar dapat terus menjaga Nurul Akma.
“Dua kakak Nurul Akma sentiasa membantu saya untuk menjaga Nurul Akma apabila mereka berada di rumah,” katanya.
Artikel asal di Sinar Harian: 19 tahun ibu setia di sisi anak istimewa
#Nurul Akma Abdul Rashid
#Kader Maideen Hussan
#Janariah Nasi
#Kampung Kurnia Jaya Tambahan
#OKU
#Nurul Akma
#kekejangan
#Nurul Atilah