19 nyaris maut dalam kemalangan bas di Slim River

Astro Awani
September 20, 2013 21:41 MYT
Sebanyak 19 penumpang nyaris maut apabila bas ekpress yang dinaiki dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Taiping terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta sebelum terbalik ke dalam gaung di 380KM Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berdekatan Slim River kira-kira jam 5.15 petang tadi.
Pemandu kereta berkenaan dikejarkan ke Hospital Slim River setelah mengalami cedera parah dikepala manakala lima daripada 19 penumpang bas yang mendapat kecederaan ringan telah juga di bawa ke hospital untuk mendapat rawatan sebagai pesakit luar.
Sebanyak 14 penumpang lain yang tidak mengalami kecederaan telah dibawa pulang ke destinasi yang di tuju dengan kenaiki sebuah bas ekpress lain yang kebetulan melalui lebuh raya berkenaan.
Menurut seorang penumpang bas Noraini Jamaluddin, yang juga seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi di ibu kota, kejadian tersebut berlaku dengan begitu pantas apabila dia melihat bas berkenaan tiba-tiba menuju ke arah tepi jalan sebelum memasuki gaung.
“Saya sedar tetapi saya tidak pandang ke hadapan, saya nampak bas semakin ke tepi melanggar divider, saya pusing beberapa langkah dalam bas itu beberapa kali.
Sementara itu menurut pemandu bas Zambry Jamaluddin , bas yang di bawanya bertolak dari Jalan Duta, Kuala Lumpur pada jam 4 petang menuju ke Taiping apabila sebuah kereta, memotong bas di 380KM Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Slim River kira-kira jam 5.15 petang.
“Tiba-tiba kereta melanggar divider, kereta berpusing saya cuba elak dan saya masuk ke lorong ke kiri, kereta berpusing ke kiri, jadi saya langgar dia.
“Bas berpusing-pusing masuk ke dalam tetapi hendak kata itu gaung atau tidak, mungkin tidak.”
Anggota polis dan pasukan bomba bagaimanapun berjaya mengawal kesesakan lalu lintas berikutan kejadian kemalangan itu.
#bas #kemalangan #Slim River
;