19 lagi Pusat Temuduga Kanak-Kanak dibina di seluruh negara
Adam Darwish
Mac 16, 2023 18:10 MYT
Mac 16, 2023 18:10 MYT
KOTA BHARU: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman akan menambah sebanyak 19 lagi Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) di seluruh negara bagi menangani kes-kes seksual dan penderaan ke atas kanak-kanak dan wanita.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, penambahan itu menjadikan jumlah CIC bakal bertambah kepada 34 buah berbanding 15 CIC yang ada sekarang.
Beliau berkata setiap negeri bakal ditambah satu CIC tetapi di Sabah dan Sarawak bakal ditambah dua lagi CIC kerana faktor keluasan negeri tersebut.
"Di Kelantan satu lagi CIC akan dibina di Machang dan lokasinya sudah dikenal pasti.
"Kita mahu agar CIC baru itu dibina di luar kawasan yang ada ramai pegawai polis bagi memberi suasana lebih mesra serta keselesaan kepada mangsa dan saksi," katanya selepas merasmikan CIC Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11) di Kemumin dekat sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua JSJ Kelantan, Datuk Mohd Nor Yhazid Idris dan Ketua Penolong Pengarah D11 JSJ Bukit Aman, ACP Siti Kamsiah Hassan.
Mengulas lanjut, Abd Jalil berkata penubuhan CIC ini juga turut mendapat kerjasama daripada agensi dalam dan luar negara termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan setiap petugas di situ sudah mendapat latihan yang secukupnya.
Selain itu, katanya D11 juga turut mendapat penambahan penjawatan khas anggota seramai 100 pegawai dan empat daripadanya ditempatkan di Kelantan sebagaimana yang diluluskan dalam Belanjawan 2023 baru-baru ini.
Sementara itu mengulas mengenai peningkatan kes seksual dan penderaan di negara ini, Abd Jalil berkata kemungkinan dalam keadaan ekonomi sekarang ramai yang tertekan dari segi kehidupan.
Katanya keadaan itu menyebabkan ada yang mengalami masalah rumah tangga sehingga mencederakan pasangan dan anak-anak pula terabai dan tidak dipedulikan sehingga terlibat dalam perkara-perkara negatif.
Sejak 2018 hingga 2022 terdapat 60,751 kes diterima oleh D11 dan 55,965 kes berjaya diselesaikan.