19 individu ditahan cuba keluar dari negara ikut jalan tidak diwartakan
Bernama
Ogos 29, 2022 12:04 MYT
Ogos 29, 2022 12:04 MYT
JOHOR BAHRU: Seramai 19 individu ditahan dalam Op Pintas dipercayai cuba keluar dari negara ini melalui jalan tidak diwartakan sekitar di Pengerang, dekat sini dan Kulai, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata penahanan tersebut membabitkan tiga tekong terdiri daripada dua lelaki warga asing dan seorang wanita warga tempatan bersama 16 lagi warga asing yang berusia antara 21 hingga 46 tahun.
Katanya, dalam tangkapan pertama pada pukul 12.30 tengah malam (28 Ogos) seorang tekong ditahan bersama sebuah kereta Honda CR-V sekitar Pengerang, sekali gus membawa kepada penahanan 16 imigran di lokasi berhampiran.
"Pada pukul 6 pagi hasil maklumat, polis berjaya menahan seorang lagi lelaki warga asing yang merupakan tekong yang disyaki terlibat dalam menguruskan perjalanan kesemua 16 migran yang ingin keluar dari negara ini.
"Susulan penahanan dua tekong berkenaan, seorang lagi tekong yang merupakan wanita warga tempatan ditahan di sebuah rumah penampungan di Kulai disyaki penjaga rumah tersebut," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hussin berkata hasil siasatan, rumah penampungan tersebut dijadikan transit imigran untuk keluar dari negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.
"Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan sebatan, manakala Seksyen 186 Kanun Keseksaan, penjara maksimum dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.
-- BERNAMA