19 Feb sebutan semula kes guru pukul murid, serah laporan perubatan

Astro Awani
Januari 9, 2018 11:40 MYT
Pada 11 Disember lepas, Noor Idzahril dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang murid berusia 9 tahun pada 2 Ogos, 2017 di Kelas 3 Bistari, Sekolah Kebangsaan Sri Sentosa. - Gambar hiasan
Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 19 Februari untuk tarikh akhir serahan dokumen bagi kes guru Noor Idzahril Ahmad, 53 tahun, yang didakwa memukul seorang murid pada Ogos tahun lepas.
Majistret Hizween Azleena Othman Kamal menetapkan tarikh tersebut selepas pihak pendakwaan gagal menyerahkan laporan perubatan mangsa yang sepatutnya dilakukan hari ini.
Peguam tertuduh, Mohd Fadhly Yaacob, yang ditemui di luar perkarangan mahkamah berkata, pihaknya memohon supaya kes anak guamnya dibuang berikutan pihak pendakwaan gagal menyerahkan laporan perubatan mangsa hari ini.
"Asas kepada permohonan kami ialah, pertama, kes melibatkan 323 elemen kecederaan. Itu perlu ada daripada awal.
"Memandangkan laporan masih lagi tidak ada, kami merasakan pertuduhan itu masih pra-matang, dan untuk dihadapkan ke mahkamah, masih lagi terlalu awal.
"Jadi, kami berpendapat dan kami memberitahu kepada mahkamah, bahawa kes ini tidak seharusnya pada peringkat ini dituduh.
"Tunggulah dulu laporan perubatan. Sekiranya terdapat kecederaan, tentukan kecederaan ini. Dan sekiranya menjurus kepada perbuatan anak guam kami, maka tuduhlah," kata Mohd Fadly.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Uzair Abd Munir.
Pada 11 Disember lepas, Noor Idzahril dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang murid berusia 9 tahun pada 2 Ogos, 2017 di Kelas 3 Bistari, Sekolah Kebangsaan Sri Sentosa, Nibong Tebal.
Guru Bahasa Inggeris itu dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan RM4,000 sementara menunggu tarikh perbicaraan.
Sementara itu, lebih 100 orang kenalan termasuk guru dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir berkumpul di perkarangan mahkamah bagi menyatakan sokongan terhadap Noor Idzahril.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Azih Muda yang turut hadir dilaporkan Bernama berkata, pihaknya akan sentiasa bersama dengan Noor Idzahril bagi memastikan perjuangan guru dalam mendidik murid diteruskan walau dalam keadaan apa sekalipun.
"Ini adalah satu cabaran kecil yang terpaksa diharungi oleh para guru kita. Saya melihat para guru penuh bersemangat dan bersama-sama walaupun cabaran ini adalah satu yang mungkin tidak kita tunggu-tunggukan.
"Cabaran ini mungkin lebih memberikan persediaan kepada golongan guru menghadapi cabaran dalam era pendidikan moden untuk abad ke-21," katanya.
#guru #JAWI #murid #Nibong Tebal #pukul
;