19 daripada 400 penduduk yang hilang di PKPD Medan 88 telah serah diri - Polis

Fareez Azman
November 13, 2020 13:35 MYT
Kesemua individu itu tidak ditahan sebaliknya secara sukarela telah menyerahkan diri. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Sekurang-kurangnya 19 individu telah menyerah diri selepas didapati tidak pulang ke kediaman mereka ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi yang bermula pada Khamis.
Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Ujarnya, kesemua individu itu tidak ditahan sebaliknya secara sukarela telah menyerahkan diri.
"Pada 12 November 2020, mulai 5.00 petang sehingga hingga 9.00 malam (Khamis), seramai 13 orang yang terdiri daripada 4 rakyat Sabah, 5 warga negara Indonesia , seorang warga negara Myanmar dan tiga warganegara Thailand telah hadir serah diri dan diarahkan memasuki semula kediaman masing-masing.
"Kesemua 13 orang tersebut juga telah selesai menjalani saringan COVID-19 pada 13 November 2020 mulai jam 9.00 pagi dan menjalani kuarantin di kediaman masing-masing," jelasnya.
Manakala enam lagi individu telah pulang pada Jumaat. Kesemua mereka turut disaring dan ditempatkan di kediaman masing-masing.
Hasil siasatan awal mendapati, kesemua individu itu telah melarikan diri ke rumah rakan-rakan mereka sekitar Bandar Baru Salak Tinggi.
Malah ada diantara mereka dibawa keluar oleh majikan ke lokasi lain.
"Antara punca tindakan sedemikian adalah bimbang dikenakan caj ke atas ujian saringan COVID-19, tiada dokumen perjalanan diri dan kebimbangan terjejas pendapatan kerana tidak dapat bekerja," jelasnya dalam kenyataan ringkas.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang, Mohamad Zain A Hamid dalam satu sidang media memaklumkan lebih 400 penduduk di kawasan PKPD Medan 88 didapati hilang dan tidak pulang ke kediaman mereka.
BACA: PKPD Medan 88, Salak Tinggi: 400 penduduk gagal dikesan
BACA: PKPD Medan 88, Salak Tinggi: MKN arah polis kesan, tangkap 400 penduduk
#PKPD #PKPD Medan 88 #Bandar Baru Salak Tinggi #Sepang #Penduduk #serah diri #ujian saringan #COVID-19
;