19 anggota IPD Cheras disahkan positif COVID-19 - Ketua Polis KL

Bernama
Oktober 14, 2020 08:46 MYT
Saiful Azly berkata, walaupun 19 anggota itu positif COVID-19, operasi balai dan IPD Cheras tetap berjalan seperti biasa dengan mengamalkan SOP ditetapkan.
KUALA LUMPUR: Seramai 19 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras disahkan positif COVID-19, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin.
Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata terdapat sebahagian daripada anggota dari IPD Cheras yang masih menunggu keputusan secara berperingkat, daripada Pegawai Kesihatan Daerah.
“Walaupun mereka (19 anggota positif COVID-19), operasi balai dan IPD Cheras tetap berjalan seperti biasa dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP), yang ditetapkan kerajaan dalam usaha mengekang penularan COVID-19,” katanya kepada Bernama.
Dalam perkembangan berasingan Saiful Azly berkata, sebanyak 29 sekatan jalan raya dilakukan di sekitar ibu negara dan Putrajaya, susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 12.01 tengah malam tadi.
Pada Isnin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 12.01 tengah malam 14 Okt hingga 27 Okt.
Keputusan itu dicapai pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan COVID-19 seperti di daerah Klang, Petaling serta daerah Gombak.
-- BERNAMA
#COVID-19 #polis #IPD Cheras #kes positif #Saiful Azly Kamaruddin #SOP #Sekatan Jalan Raya #PKPB
;