188 terima Darjah Kebesaran di Istana Negara

Bernama
September 6, 2016 14:05 MYT
Tan Sri Othman menerima darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran 'Tan Sri'.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Tan Sri Othman Mustapha hari ini mendahului senarai 188 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2016 sempena ulang tahun keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Othman menerima darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran 'Tan Sri' daripada Tuanku Abdul Halim pada majlis yang berlangsung di Istana Negara di sini.
Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke istiadat pengurniaan itu. Hari keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong disambut 4 Jun lepas.
Turut dikurniakan darjah PSM ialah Pengarah Urusan ECK Development Sdn Bhd Tan Sri Dr Khor Eng Chuen, Pengarah Synergy Energy (Labuan) Ltd. Tan Sri Loo Chong Sing, Pengerusi S.K Tiong Enterprise Sdn Bhd Tan Sri Tiong Su Kouk, Pengerusi Tungling Corporation Sdn Bhd Tan Sri Tan Koon Swan dan Pengarah Urusan Syarikat United U-Li Corporation Berhad Tan Sri Lee Yoon Wah.
Tuanku Abdul Halim mengurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran 'Datuk' kepada enam penerima termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Kamardin Hashim.
#Agong #darjah kebesaran #Othman Mustapha #Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah
;