186 individu ditahan ingkar arahan PKP - Ismail Sabri

Fareez Azman
Julai 31, 2020 07:46 MYT
ISMAIL: Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 60,038 pemeriksaan pada 30 Julai 2020. - Gambar fail
Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 186 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Khamis.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan daripada jumlah itu, seramai 41 individu telah direman manakala tiga lagi individu dijamin.
"Seramai 142 individu pula dikenakan kompaun. Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat urut tanpa lesen (2), aktiviti yang tidak mengikuti SOP (59), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (124) dan langgar perintah pengawasan/Home Surveillance Order (1)," katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jumaat.
Tambahnya, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 60,038 pemeriksaan semalam (30 Julai 2020) bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Sebanyak 2,665 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 12,262 anggota telah membuat pemantauan di 4,066 pasar raya, 5,778 restoran serta 1,230 penjaja, 1,319 kilang, 3,755 bank dan 819 pejabat kerajaan.
Turut dipantau, sebanyak 1,191 terminal pengangkutan darat, 146 terminal pengangkutan air serta 54 terminal pengangkutan udara.
#ingkar #ismail sabri yaakob #Kenyataan Media #Menteri Kanan Pertahanan #PDRM #PKP #PKPP #Polis Diraja Malaysia #SOP