181 kes positif COVID-19 dikesan di PPS, KKM tingkat kesiapsiagaan - Khairy
Harits Asyraf Hasnan
Disember 20, 2021 12:23 MYT
Disember 20, 2021 12:23 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 181 kes positif COVID-19 hasil saringan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir di enam negeri di Semenanjung.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata sehingga jam 11 pagi hari ini, sejumlah 117 kes dikesan di Selangor, Pahang (52), Kelantan (6), Kuala Lumpur (4) dan masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Melaka.
Jelasnya, kebanyakan kes positif COVID-19 berada dalam kategori 1 dan 2, serta telah dipindahkan ke hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau kemudahan lain termasuk PPS khusus untuk individu yang disahkan positif COVID-19.
"KKM telah menjangkakan peningkatan kes ini berkemungkinan ekoran keadaan pemindahan yang terpaksa dibuat dalam keadaan yang sangat berisiko tinggi. Mungkin ada langkah-langkah kesihatan awam yang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya," kata Khairy.
Beliau berkata demikian semasa sidang media di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
"Kami (KKM) memahami isu ini, keutamaan dalam kita menyelamat mangsa banjir ini adalah untuk usaha menyelamatkan mereka.
"Kadangkala, memang tidak dapat dielakkan beberapa perkara yang sepatutnya dibuat dalam langkah kesihatan awam, ia tidak dapat dipatuhi," tambahnya.
Beliau pada masa sama memaklumkan terdapat 206 kes kontak rapat COVID-19 dan individu-individu berkenaan telah dipindahkan ke PPS khusus, PKRC, stesen kuarantin atau ke hospital.
Menurut Khairy, KKM telah bersiap-sedia dengan kemungkinan akan berlaku peningkatan kes COVID-19 disebabkan beberapa langkah kesihatan awam yang memang tidak dapat dipatuhi akibat banjir.
Selain itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga telah memaklumkan kepada semua negeri untuk mempertingkatkan sistem kesihatan awam susulan bencana banjir yang melanda negara ketika ini.