18 wanita dilantik ahli Majlis Penasihat dan Perundingan Wanita

Azyyati Ahmad
Ogos 24, 2015 19:26 MYT
ROHANI: Lapan belas wanita tersebut dipilih berdasarkan kepakaran mereka yang sudah sedia ada dalam bidang masing-masing. - Gambar Fail
Sempena Hari Wanita Kebangsaan yang ke 53, seramai 18 wanita yang terdiri daripada pelbagai bidang dan kepakaran telah terpilih menerima watikah pelantikan ahli-ahli Majlis Penasihat dan Perundingan Wanita (MPPW).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim turut berharap perlantikan ini akan dapat menjadi satu platform untuk mengintegrasikan perspektif wanita dalam pelbagai aspek termasuk pakar rujuk untuk penggubalan dasar dan perundangan khusus untuk wanita.
"MPPW ini akan memainkan peranan sebagai sebuah badan pemikir, pemantau dan penilai kepada kecekapan dan keberkesanan pelaksanaan dasar dan program kerajaan," katanya yang ditemui di majlis sidang media selepas sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2015 di sini, hari ini.
Kata Rohani lagi, antara sebab mengapa 18 wanita ini dipilih adalah kerana kepakaran mereka yang sudah sedia ada dalam bidang masing-masing.
"Pada mulanya kita mahu mengambil orang luar, kemudia selepas perbincangan dibuat kita sedar bahawa kepakaran 18 wanita ini sudah sedia ada di dalam data negara, jadi sebab itu mengapa kita memilih mereka kerana mereka lebih mengenali wanita Malaysia," jelas Rohani.
Antara ahli MPPW yang dilantik adalah:
Datuk Sabariah Hassan - Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Ainon Kuntum - Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Jantung Malaysia
Senator Bathmawati Krisnan - Senator dan Ahli Majlis OKU
Datuk Hanifah Hajar Taib Alsree - Pengerusi PERKIM bahagian negeri Sarawak
Low Ngai Yuen - Presiden Kakiseni
Datuk Dr Nellie SL Tan Wong - Timbalan Pengerusi Women's Institute of Management
Prof Madya Dr Madeline Berma - Pengerusi Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, UKM
Puan Sri Tiara Jaquelina - Produser filem dan teater
Datuk Jemilah Abu Bakar - Pengasas dan NAib Presiden 'Women and ASEAN Economic Community Business Foundation dan ramai lagi.
Majlis turut menyaksikan penganugerahan pelantikan watikah Penyandang Kursi Kepimpinan Wanita bagi fasa kedua yang julung kalinya disandang oleh wanita tempatan, iaitu Tan Sri Datuk Dr Rafiah Salim.
Sambutan yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya pada Isnin telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
#Hari Wanita Kebangsaan 2015 #Majlis Penasihat dan Perundingan Wanita #Rohani Abdul Karim
;