18 tahun tertangguh, Malaysia-Indonesia akhirnya selesai isu Laut Sulawesi-Selat Melaka
Astro Awani
Jun 8, 2023 18:06 MYT
Jun 8, 2023 18:06 MYT
PUTRAJAYA: Setelah 18 tahun tertangguh, Malaysia dan Indonesia akhirnya menyelesaikan isu persempadanan maritim antara wilayah melibatkan Laut Sulawesi dan Selat Melaka, hari ini.
Presiden Indonesia, Joko Widodo atau dikenali sebagai Jokowi berharap agar proses rundingan bagi isu persempadanan yang lain turut diselesaikan segera.
"Saya menyambut baik rundingan penyelesaian Laut Sulawesi dan Selat Melaka.
"Setelah 18 tahun proses rundingan...18 tahun, boleh diselesaikan, Alhamdulillah.
"Tapi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan para menteri, saya juga berharap rundingan termasuk Pulau Sebatik dan lain juga dapat segera diselesaikan.
"Saya harap Perdana Menterinya masih Anwar dan Presiden Indonesia masih Jokowi," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta kerajaan Malaysia supaya segera mewujudkan sebuah pembelajaran komuniti buat warganegara Indonesia yang ditahan di Depoh Imigresen.
Sementara itu, katanya, Malaysia dan Indonesia juga harus terus memperkuat kerjasama sedia ada dalam memastikan keluaran komoditi kedua-dua negara tidak dipandang ringan oleh negara luar.
“Saya sangat hargai baru-baru ini Indonesia dan Malaysia menjalinkan kerjasama untuk melawan diskriminasi kelapa sawit dan komoditi lain.
“Kerjasama seumpama ini harus diperkuatkan, jangan sampai hasil komoditi oleh kedua-dua negara didiskriminasi oleh negara lain,” ujarnya.