18 set ETS, komuter KTMB akan dibaik pulih - Anthony Loke
Bernama
Februari 29, 2024 17:06 MYT
Februari 29, 2024 17:06 MYT
BATU GAJAH: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan membaik pulih 18 set tren antara perkhidmatan tren elektrik (ETS) dengan komuter KTMB, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Loke berkata pihaknya berhasrat untuk menambah bilangan set ETS bagi menambah kekerapan perjalanan tren untuk penumpang pada setiap masa.
"Kami juga buat program untuk membaik pulih sebahagian set yang sudah lama jadi ia boleh digunakan supaya tambah bilangan kereta api yang ada dalam perkhidmatan kita...Secepat mungkin dalam beberapa bulan akan datang kami berharap kontrak itu akan diserahkan (baik pulih set tren).
"Sebahagian daripada tren ini perlu dibaik pulih secara besar-besaran jadi ia dapat ditawarkan untuk perkhidmatan. Ada 18 set yang kami nak baik pulih antara ETS dengan komuter, bukan hanya ETS, kami juga perlukan lebih banyak kereta api komuter," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Akademi KTM Keenam di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada KTMB terdapat perancangan untuk menambah gerabak ETS bagi mengelakkan kesesakan penumpang pada setiap masa.
Sementara itu, Loke berkata KTMB akan menambah tren dan kekerapan perjalanan menjelang Ramadan serta Aidilfitri, sama seperti Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
Beliau berkata KTMB akan terus berusaha untuk memastikan kereta api milik mereka dapat terus ditambah baik dan dipertingkatkan.
"Kementerian Pengangkutan sentiasa memohon peruntukan untuk menambah tren dan kami juga ada program untuk baik pulih tren yang lama, juga ada tren yang mungkin tidak dapat digunakan sekarang disebabkan isu penyelenggaraan.
"Kami akan cuba perbaiki supaya bilangan tren itu dapat ditambah dengan lebih banyak lagi. Apabila tren bertambah, maka kekerapan akan dapat ditambah," katanya.
Berkenaan majlis konvokesyen hari ini, Loke berkata Akademi KTM melatih pekerja-pekerja KTM dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ataupun vendor dan kontraktor untuk mengambil kursus kemahiran berkenaan sistem kereta api.
Loke berkata ia termasuk pemandu lokomotif, pemandu tren dan bidang teknikal, selain pemandu mahir yang lain serta menawarkan sijil kemahiran termasuk Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bersama Jabatan Tenaga Manusia di bawah Kementerian Sumber Manusia.
"Memang ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan bidang TVET (Pendidikan Teknikal dan Vokasional) dan ini adalah antara bidang TVET yang kami promosikan atau kami tekankan di bawah Kementerian Pengangkutan," katanya.
Pada majlis konvokesyen hari ini, seramai 224 graduan diraikan di Dewan Bunga Raya Akademi KTM di sini.
-- BERNAMA