18 penghuni rumah hasil bantuan Ustaz Ebit Lew diselamat dalam kebakaran
Adie Sufian Zulkefli
Jun 28, 2022 23:31 MYT
Jun 28, 2022 23:31 MYT
ALOR SETAR: Seramai 18 penghuni nyaris rentung apabila terperangkap dalam sebuah rumah terbakar di Taman Sri Taman, Jalan Sultanah, di sini, pada Selasa.
Mereka bernasib baik apabila sempat diselamatkan orang awam dan pasukan bomba dalam kejadian jam 5.45 petang itu.
Mereka adalah ahli keluarga Allahyarham Ishak Darus atau dikenali dengan nama ‘Pak Aq’ yang sebelum ini dilapor hidup daif dan menerima bantuan daripada pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew pada April 2020.
Malah, rumah berkenaan sebelum ini disewakan Ebit untuk mereka selepas beliau membawa keluarga besar itu berpindah dari kediaman usang di Kampung Berjaya dekat sini, yang didiami sejak sekian lama.
Pak Aq yang menghidap strok bagaimanapun meninggal dunia selepas kira-kira sebulan berpindah ke rumah berkenaan pada 31 Mei 2020.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron berkata, dalam kejadian petang Selasa, mangsa terperangkap berusia enam bulan hingga 58 tahun.
Katanya, sebaik menerima laporan kejadian pada jam 5.54 petang, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dan Jalan Raja dikejarkan ke lokasi kebakaran.
“Sebaik tiba api sedang marak membakar rumah yang diperbuat daripada papan dan kayu terbabit.
“Bomba dimaklumkan terdapat 18 orang di dalam rumah namun enam daripadanya telah diselamatkan orang awam.
“Seramai 12 lagi mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba setelah menemui mereka terperangkap di bahagian tengah rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Syufaat berkata, salah seorang mangsa terperangkap di dalam bilik air.
Katanya, anggota bomba berjaya memecahkan cemin tingkap kecil di bahagian atas bilik air terbabit dan menarik keluar mangsa.
“Ada di antara mangsa mengalami kecederaan patah kaki dan tangan serta ada yang melecur manakala selebihnya sesak nafas,” ujarnya.
Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dengan jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Syufaat berkata, kebakaran itu mengakibatkan kemusnahan hampir 90 peratus struktur rumah terbabit selain turut memusnahkan tiga buah motosikal dan empat buah basikal.
Katanya, punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.