18 pelancong Korea cedera, bas persiaran terbalik di Kota Belud

Astro Awani
Disember 10, 2018 15:22 MYT
Kakitangan hospital Kota Belud dan orang awam membantu salah seorang mangsa dalam kemalangan melibatkan bas persiaran di Jalan Kelawat pada Isnin.
Seramai 18 pelancong Korea mengalami kecederaan selepas bas yang mereka naiki terbabas sebelum terbalik semasa menuruni bukit di Jalan Kelawat, Kota Belud, petang Isnin.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada jam 5.39 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba Penyelamat Kota Belud dan Tuaran bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran yang sedang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kota Belud.
"Bas tersebut terbabas lalu terbalik semasa menuruni bukit. Mangsa yang mengalami kecederaan diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Kecemasan Perubatan dan Menyelamat (EMRS) serta ambulans sebelum dihantar ke Hospital Kota Belud untuk rawatan lanjut," kata jabatan itu dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Maklumat penuh mangsa belum diperolehi dan maklumat terkini akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
#bomba #Hospital #kemalangan #Korea #Kota Kinabalu #Malaysia #pelancong #perubatan