18 PATI ditahan ketika hendak bercuti di Kuala Lumpur
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 1, 2019 17:51 MYT
Oktober 1, 2019 17:51 MYT
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak memberkas 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Op Bersepadu di kawasan rehat Semanggol arah selatan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pada Isnin.
Kesemua yang ditahan itu terdiri daripada tujuh warga Bangladesh, tiga warga Myanmar, tiga warga Indonesia, dua warga Nepal, dua warga India dan seorang warganegara Sri Lanka.
Mereka terdiri daripada lelaki dan dalam lingkungan umur 26 tahun hingga 50 tahun.
Menurut Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail, mereka sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang dan dikatakan hendak bercuti di Kuala Lumpur sambil melawat rakan-rakan.
“Ketika pegawai operasi sedang menjalankan tugas, ada di antara mereka yang cuba menyorok di tempat duduk masing-masing untuk mengaburi mata pegawai operasi namun tindakan mereka tidak berjaya,” katanya.
Menurutnya, seramai 13 Pegawai Imigresen dari Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), PUSPAKOM, PLUS dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terlibat dalam operasi itu.
Katanya, seramai 103 orang telah diperiksa dalam operasi itu yang dimulakan sekitar jam 9.45 pagi dan berakhir pada jam 12.00 tengahari.
“Siasatan awal mendapati bahawa mereka telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa,” ujarnya.
Beliau menyeru orang ramai untuk sentiasa membantu menberi maklumat kepada pihak berkuasa agar tindakan sewajarnya dapat diambil dan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam membanteras kebanjiran PATI.
#India
#Jabatan Imigresen Malaysia
#Kuala Lumpur
#Myanmar
#Nepal
#pati
#pendatang asing tanpa izin
#warga Bangladesh
#warga Indonesia