18 pasukan pemantau ditubuhkan pantau SOP Aidilfitri di Beaufort

Junaidi Ladjana
Mei 16, 2021 13:26 MYT
Yusoff Zaki berkata, pasukan IPD Beaufort sentiasa bersiap siaga pada tahap yang tinggi dan boleh digerakkan pada bila-bila masa.
BEAUFORT: Sebanyak 18 pasukan pematuhan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort ditubuhkan bagi memantau rumah terbuka yang tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, pasukan itu akan digerakkan dari semasa ke semasa termasuk berdasarkan aduan yang diterima daripada orang awam.
Katanya, pasukan membabitkan seramai 230 pegawai dan anggota yang bersiap sedia sepanjang masa untuk menjalankan pemantauan.
"Langkah pertama yang dilakukan adalah memberikan nasihat kepada tuan rumah sekiranya rumah terbuka tidak mematuhi SOP.
"Apa yang penting ketika ini adalah kesedaran masyarakat mengenai potensi jangkitan penyakit berkenaan tanpa mengira masa dan tempat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan pemeriksaan SJR dan tinjauan kedai di sekitar pekan Beaufort, hari ini.
Yusoff Zaki berkata, pasukan IPD Beaufort sentiasa bersiap siaga pada tahap yang tinggi dan boleh digerakkan pada bila-bila masa.
Sementara itu, Yusoff Zaki berkata, sekurang-kurangnya 450 kenderaan diarah berpatah balik selepas cuba merentas daerah di dua sekatan jalan raya (SJR) sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 hingga 15 Mei tahun ini.
Katanya, jumlah itu diperoleh hasil pemeriksaan sebanyak 80,000 kenderaan keluar masuk di daerah Beaufort bermula 18 Mac 2020 hingga 15 Mei tahun ini.
"Pemeriksaan mendapati kebanyakan kenderaan berkenaan didapati tidak mengikut SOP ditetapkan antaranya tidak mempunyai surat kebenaran merentas daerah.
"Selain itu, ada juga kenderaan yang dikesan membawa lebihan penumpang terutama membabitkan pengangkutan awam," katanya.
#pasukan pemantau #Ketua Polis Daerah Beaufort #Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob #rondaan keselamatan #SOP #langgar SOP
;