18 lelaki ditahan kerana sabung ayam
Bernama
Julai 23, 2017 20:34 MYT
Julai 23, 2017 20:34 MYT
Polis berjaya memberkas 18 lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan sabung ayam haram dalam serbuan 'Ops Dadu' di Ulu Sungai Salim, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Saiful Bahari Abdullah berkata dalam serbuan jam 2.30 petang itu, anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis (IPD) Sibu, menahan kesemua suspek berusia antara 21 dan 63 tahun.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas enam ekor ayam hidup, dua ekor ayam mati, satu bilah taji ayam, sebuah alat penimbang dan papan putih tertulis angka-angka jadual pertaruhan.
Mereka ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962 dan akan direman esok untuk membantu siasatan lanjut, katanya di sini hari ini.
Khamis lepas, seramai 10 lelaki berusia antara 31 hingga 57 tahun termasuk seorang warga Indonesia ditahan atas kegiatan sama di kawasan lapang di Jalan Ling Siew Ting, dekat Jalan Teku, di sini.
-- BERNAMA