18 juta RTK kini tersedia di pasaran - KPDNHEP
Bernama
Februari 22, 2022 13:18 MYT
Februari 22, 2022 13:18 MYT
PUTRAJAYA: Terdapat kira-kira 18 juta Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 (Ujian Kendiri) atau RTK kini tersedia di pasaran, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Menurut KPDNHEP dalam kenyataan hari ini, jumlah tersebut berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari yang dilakukan terutama di peringkat pengimport, pengilang, pemborong dan peruncit bagi memastikan bekalan stabil di pasaran.
RTK telah diwartakan sebagai barang kawalan di bawah Perintah Kawalan Bekalan (Barang-Barang Kawalan) (No.6) 2021 pada 24 Nov 2021 dan dikuatkuasakan pada 1 Dis 2021 bagi menjamin keberadaan dan bekalan sentiasa mencukupi di pasaran.
KPDNHEP dalam kenyataan itu memaklumkan lapan pengilang 'Establismen' yang mendapat kebenaran bersyarat menghasilkan RTK di Malaysia telah mengeluarkan sejumlah 4.306 juta unit RTK sehingga Februari 2022, manakala Malaysia pula telah mengimport sejumlah 2.34 juta unit RTK dari tujuh negara.
Menurut KPDNHEP, aduan berhubung kekurangan bekalan RTK adalah sangat rendah dalam tempoh 1 Jan hingga semalam iaitu hanya tiga aduan sahaja diterima.
Julat harga RTK di pasaran adalah antara RM4.90 dan RM19.90 pada ketika ini namun 80 peratus RTK dijual di bawah RM10.00 seunit, kata kementerian itu.
Sebanyak 8,084 premis runcit telah diberi kelulusan kebenaran menjual RTK yang diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA).
KPDNHEP juga menasihatkan pengguna agar tidak panik ekoran laporan peningkatan kes COVID-19 dengan membuat pembelian panik atau berlebihan daripada keperluan.
"Sentiasa berwaspada dengan kehadiran RTK yang tidak mendapat kelulusan MDA," katanya. - BERNAMA