18 jam serbuan di rumah Najib Razak, apa kesudahannya?
Wafa Aula
Mei 17, 2018 21:16 MYT
Mei 17, 2018 21:16 MYT
Bermula 10.15 Rabu malam, kediaman peribadi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi perhatian media tempatan dan antarabangsa.
Lapan belas jam selepas kediaman Najib yang terletak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di ibu negara 'dikunjungi' pihak polis dan digeledah, tiada sebarang tangkapan berlaku.
Kelihatan lebih 50 hingga 60 pegawai dan anggota polis berkumpul di sepanjang laluan menghala ke kediaman itu.
Operasi serbuan itu dilaporkan berlanjutan kerana pihak polis sedang berusaha menggerudi sebuah peti simpanan yang terletak di sebuah bilik tingkat satu rumah berkenaan.
Peti simpanan itu gagal dibuka oleh pihak polis kerana kuncinya dikatakan telah hilang sejak 20 tahun lalu, kata peguam Najib, Datuk Harpal Singh Grewal, dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan operasi serbuan itu turut berlanjutan sehingga mengganggu ketenteraman Najib sekeluarga serta jiran berdekatan.
Menurut Harpal Singh, Najib telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis sepanjang operasi itu dijalankan.
Beliau turut berkata, operasi itu turut meninggalkan kesan negatif kepada anak guamnya.
"Serbuan dijalankan pada bulan Ramadan. Ia (serbuan) menafikan hak Najib, keluarga dan kakitangannya untuk menunaikan ibadah dan berbuka puasa pada hari pertama Ramadan.
"Najib sudah memberikan keizinan dan sepenuh kerjasama kepada anggota polis namun gangguan yang sudah berlanjutan sehingga 18 jam ini seperti tidak mendatangkan apa-apa hasil," katanya.
Harpal Singh turut menegaskan operasi penggeledahan itu tidak bermotifkan politik dan hanya berdasarkan kepada akta yang berkaitan.
Pihak polis telah merampas puluhan kotak yang mengandungi barangan peribadi antaranya beg tangan, pakaian dan hadiah sepanjang operasi itu.
#1Malaysia Development Berhad
#1MDB
#geledah rumah
#Harpal Singh Grewal
#kediaman
#Najib Razak
#serbuan