18 hospital tawar rawatan percuma suntikan Hepatitis C
Firdaus Azil
Mac 19, 2018 15:00 MYT
Mac 19, 2018 15:00 MYT
Pesakit Hepatitis C di negara ini kini boleh mula menarik nafas lega memandangkan Kementerian Kesihatan mula menawarkan rawatan secara percuma untuk menangani penyakit yang diklasifikasikan sebagai mudah berjangkit itu.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, rawatan Direct Acting Antiviral (DAA) dan Sofosbuvir yang menggunakan ubat-ubatan dari Mesir itu, kini mula ditawarkan di 18 hospital kerajaan di seluruh negara, pada kadar percuma.
“Pada masa dahulu kita tiada rawatan yang berkesan dan, yang ada pun sangat mahal. Sekarang di Malaysia kita telah mendapat peluang untuk menggunakan ubat generic, untuk penyakit ini, yang boleh membawa pemulihan kepada penyakit itu dengan membunuh virus ini,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Hepatologi di Hospital Selayang, di sini, hari ini.
Dr Subramaniam berkata, buat masa kini dianggarkan terdapat antara 20,000 hingga 23,000 pesakit Hepatitis C yang berdaftar, dan fasa pertama rawatan itu dijangka dapat memanfaatkan sekitar 2,000 pesakit yang dianggap kronik.
Sebelum ini, kos rawatan itu dianggarkan sekitar RM50,000, namun kini kementerian berjaya mencari jalan untuk menurunkannya kepada sekitar RM1,000, dan ianya ditanggung sepenuhnya.
Beliau turut memaklumkan, dianggarkan terdapat 400,000 rakyat Malaysia yang dijangkiti Hepatitis C, dan kementerian sedang mengkaji langkah terbaik untuk melakukan ujian penyaringan darah bagi memastikan jumlah sebenar pengidap kuman itu.
Hepatitis C merupakan sejenis penyakit berjangkit menyebabkan hati membengkak, dan pada tahap yang serius, boleh menjadi kanser hati.