18,205 kes komersial dicatatkan, kerugian lebih RM1.5 bilion - Polis
Bernama
Ogos 14, 2024 16:16 MYT
Ogos 14, 2024 16:16 MYT
KUALA LUMPUR: Jumlah kerugian yang berkaitan dengan kes-kes jenayah komersial termasuk penipuan dalam talian meningkat 31 peratus bagi tempoh 1 Jan hingga 11 Ogos tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas, dengan jumlah kerugian melebihi RM1.5 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata walaupun jumlah kerugian meningkat, namun jumlah kes yang dilaporkan dilihat menurun sedikit berbanding tempoh sama tahun lepas.
"Sebanyak 18,205 kes jenayah komersial direkodkan setakat 11 Ogos tahun ini dengan purata 81 kes sehari, menurun lapan peratus berbanding 19,720 kes yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lepas," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sementara itu Ramli berkata walaupun pembenterasan jenayah komersial dalam era teknologi hari ini menjadi cabaran utama JSJK namun pihaknya telah menanganinya dengan baik dan bersiap sedia dengan jangkaan kes jenayah komersial yang terus meningkat berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Beliau berkata perkara itu boleh dilihat menerusi 10,848 kertas siasatan yang telah dibuat pertuduhan tahun ini, yang sekali gus membuatkan polis terus melipatgandakan usaha untuk membanteras kegiatan jenayah komersial.
-- BERNAMA