18,000 khemah bencana disediakan untuk mangsa banjir - Sultan Johor

Bernama
Januari 1, 2022 19:08 MYT
Ketika tinjauan itu, baginda turut menitahkan tempahan tilam dan bantal tambahan untuk keselesaan mangsa di pusat berkenaan.- Foto Facebook The Royal Johor
JOHOR BAHRU: Hampir 18,000 khemah bencana telah disalurkan kepada kawasan-kawasan berisiko banjir untuk digunakan oleh mangsa bencana itu di negeri ini.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah persediaan menghadapi banjir dilakukan saban tahun dan dikemas kini sewajarnya oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani.
"Sama ada berlaku ataupun tidak, kita bersiap siaga untuk menghadapi banjir setiap tahun. Bukan sahaja khemah, malah persediaan lain juga disiapkan awal untuk segera dikerahkan jika sesuatu kawasan itu dilanda banjir.
"Semalam, pukul 2 pagi Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) sudah datang ke Segamat untuk meninjau keadaan. Bantuan bukan sahaja untuk ketika berlakunya banjir, tetapi juga perlu disediakan untuk meneruskan kehidupan selepas bencana itu.
"Rumah perlu dibersihkan, peralatan yang rosak perlu diganti dan macam-macam lagi," titah baginda yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi hari ini.
BACA LAPOR LANGSUNG BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI
Terdahulu petang ini, Sultan Ibrahim berkenan berangkat melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung Tenang, Labis, Segamat yang menempatkan 272 orang mangsa banjir daripada 93 keluarga yang menetap di kawasan berhampiran.
Ketika tinjauan itu, baginda turut menitahkan tempahan tilam dan bantal tambahan untuk keselesaan mangsa di pusat berkenaan.
Turut berangkat, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.
"Yayasan saya (Yayasan Sultan Ibrahim Johor) akan cuba sebaiknya untuk membantu mangsa-mangsa banjir negeri Johor, namun tangan saya ada dua sahaja. Saya tak mampu buat bersendirian. Saya harap lebih ramai pihak akan tampil untuk saling membantu.
"Saya juga menyeru rakyat negeri Johor supaya membuat solat sunat hajat dan berdoa agar diringankan bencana yang dihadapi, serta dikurniakan perlindungan," titah baginda.
-- BERNAMA
#Banjir 2021 #banjir johor #Sultan Johor #mangsa banjir
;