177 guru dan pelajar positif COVID-19 di Sibu, patutkah sekolah terus dibuka? - Annuar Rapaee
Fadilah Sulaiman
April 25, 2021 16:06 MYT
April 25, 2021 16:06 MYT
SIBU: Seramai 177 guru dan pelajar di sini disahkan positif COVID-19 dari 11 April hingga 23 April lepas.
Justeru Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Dr Annuar Rapaee melontarkan persoalan wajarkah sekolah terus dibuka di Sarawak?
Memperincikan secara lanjut, Annuar memaklumkan jumlah kes positif COVID-19 sepanjang tempoh berkenaan melibatkan 85 buah sekolah.
"Bagi Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) melibatkan seramai 46 sekolah sementara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) membabitkan 23 sekolah," katanya dalam kemas kini perincian sekolah terlibat COVID-19 di laman sosialnya pada Ahad.
Jelasnya lagi apa yang lebih merisaukan, selain membabitkan sekolah, wabak ini turut menjangkiti kanak-kanak prasekolah termasuk taska dan tabika.
Menurutnya yang juga Penyelaras Jawatankuasanya Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) itu berkata, sebanyak 11 taska atau tadika dan empat prasekolah juga dijangkiti wabak itu.
"Ia juga mengancam sebuah sekolah swasta di bandar ini," jelasnya lagi.
Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 3,176 calitan terhadap kanak-kanak, pelajar dan guru terlibat.
"Patutkah sekolah dibuka di Sarawak? Kita tegur sesama kita," ujarnya.
23 April lepas, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penutupan sebahagian atau keseluruhan operasi sekolah bukan terletak di bawah bidang kuasa pihak kerajaan negeri namun atas penilaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jelasnya, KKM akan meneliti makluman daripada Kementerian Pendidikan sebelum membuat keputusan akhir.
#COVID-19
#Sibu
#Annuar Rapae
#Malaysia
#Sains
#Kementerian Pendidikan
#Kementerian Kesihatan
#KKM
#Kanak-kanak
#guru
#sekolah
#pelajar
#pendidikan
#kesihatan