176 warga asing ditahan di Bukit Bintang

Bernama
Januari 22, 2025 23:45 MYT
Seramai 176 warga asing ditahan dalam satu operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur di sekitar Jalan Alor, Bukit Bintang, malam ini. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Seramai 176 warga asing ditahan dalam satu operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur di sekitar Jalan Alor, Bukit Bintang, malam ini.
Pengarahnya Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata operasi yang bermula 7.15 malam itu dilaksanakan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berdasarkan aduan orang awam serta risikan.
Beliau berkata daripada jumlah berkenaan, 71 individu merupakan warga Bangladesh, Myanmar (60), Indonesia (24), Nepal (16), Pakistan (tiga), Mesir dan Sudan, masing-masing seorang.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu membabitkan kesalahan tiada dokumen sah dan tinggal lebih masa di negara ini.
"Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Kuala Lumpur bagi proses dokumentasi dan tindakan lanjut," katanya kepada pemberita selepas operasi yang disertai 61 pegawai dan anggota JIM serta 30 petugas DBKL.
-- BERNAMA
#warga asing ditahan #jabatan imigresen #JIM Kuala Lumpur #Bukit Bintang #Jalan Alor
;