175 pegawai kerajaan disiasat, 85 bersalah
Harits Asyraf Hasnan
November 12, 2014 22:38 MYT
November 12, 2014 22:38 MYT
85 daripada 175 pegawai kerajaan didapati bersalah atas kecuaian mematuhi prosedur, salah guna kuasa dan penipuan.
Daripada jumlah itu, seorang pegawai kerajaan sudah dibuang kerja lanjutan daripada Laporan Audit Negara 2012.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata daripada 111 teguran hukuman membabitkan 121 kes, sehingga 5 November 2014, 100 kes sudah diambil tindakan.
“Daripada 85 yang terbaru, satu telah dibuang, 29 kes surcaj (tatatertib), surcaj dan amaran 12 pegawai, amaran dan pembekuan gaji satu pegawai, penangguhan peningkatan gaji tahunan dua pegawai,” beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Sesi Bersama Media - Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 2013, di sini pada Rabu.
Ali Hamsah turut mengulas berhubung cadangan Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang mencadangkan supaya hukuman lebih berat seperti memberhentikan tugas kepada mereka yang bersalah.
“Saya fikir dari segi tindakan disiplin, kami ada amaran hingga membuang pegawai kerajaan. Itu bergantung kepada tindakan disiplin di mana ada bahagian lain di mana akta jenayah sama ada rasuah atau salah guna kewangan semua.
Maka kami ada tindakan atau penjara atau mereka keluar dari sistem perkhidmatan awam,” katanya.
Sebelum itu, dalam ucapan beliau, Ali Hamsa berkata sesi bersama media yang menjadi platform bagi pengamal media mengajukan pelbagai soalan mengenai isu-isu yang ditimbulkan dalam Laporan Ketua Audit Negara dengan pihak pengurusan tertinggi kementerian-kementerian akan diteruskan.
Pada masa sama, beliau menggesa semua ketua setiausaha kementerian supaya mengambil tindakan wajar untuk menegakkan integriti kementerian dan agensi masing-masing.
Sesi ini dihadiri ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan dan pegawai atasan agensi kerajaan.