172 negara sokong inisiatif Malaysia, optimis Majlis Keselamatan PBB realisasi gencatan senjata

Harits Asyraf Hasnan
Jun 26, 2020 12:58 MYT
Datuk Syed Mohd Hasrin Tengku Hussin berkata PBB perlu menghantar mesej jelas kepada masyarakat antarabangsa akan pentingnya solidariti dan simpati bersama bagi mereka yang terjejas teruk oleh perperangan. - Foto PBB
Selepas Malaysia berjaya meraih sokongan 172 negara untuk melaksanakan gencatan senjata tatkala wabak COVID-19 melanda dunia, kini tiba masanya untuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) merealisasikan inisiatif tersebut.
Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Syed Mohd Hasrin Tengku Hussin berkata PBB perlu menghantar mesej jelas kepada masyarakat antarabangsa akan pentingnya solidariti dan simpati bersama bagi mereka yang terjejas teruk oleh perperangan ketika dunia dilanda wabak COVID-19.
Tegasnya, walaupun inisiatif pernyataan sokongan itu tidak mengikat mana-mana negara dari segi undang-undang, namun ia menggambarkan komitmen negara menyokong dalam memastikan pandemik itu ditangani dengan tanpa halangan.
“Kita berharap, dengan sokongan jitu 172 negara anggota, negara pemerhati bukan anggota dan pemerhati ia akan memberi satu nafas baru kepada UNSC, Setiausaha Agung PBB, pihak-pihak yang betelingkah, badan bukan kerajaan dan pengamal keamanan dalam merealiasasikan gencatan senjata secara global dan memerangi ancaman COVID-19.
“Di PBB, isu keamanan dan keselamatan adalah tanggungjawab utama UNSC yang dianggotai oleh 15 buah negara. Setakat ini masih belum ada lagi sebarang resolusi berkaitan rayuan gencatan senjata ini kerana ia masih dalam peringkat perbincangan berikutan terdapat perbezaan pandangan di kalangan beberapa negara anggota UNSC.
“Adalah menjadi harapan kita dengan sokongan 172 negara yang kita perolehi ini, ia akan dapat mendorong UNSC untuk menghasilkan satu resolusi mengenai isu ini secepat mungkin. Resolusi Keselamatan PBB adalah mengikat dari segi undang-undang,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI hari ini.
Gesaan tersebut dibuat Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres sebelum ini yang mana Malaysia menjadi negara pemula bersama kerjasama rakan kongsi merentasi rantau seperti Bangladesh, Ecuador, Mesir, Jamaica, Jepun, Oman, Senegal dan Sweden dalam menggerakkan inisiatif tersebut.
Mengakui isu tersebut adalah sensitif dan kompleks, Syed Mohd Hasrin berkata Malaysia dan kerjasama rakan kongsi akan terus berusaha memastikan ia dapat direalisasikan.
“Memang satu benda yang susah apabila ada perbezaan pendapat terutama di kalangan anggota tetap (UNSC), tetapi pada saya tidak bermakna mereka tidak boleh merapatkan jurang perbezaan mereka dan mencari jalan untuk dapat menghasilkan satu resolusi mengenai gesaan gencatan senjata ini.
“Secara individu, mereka menyokong gesaan gencatan senjata Setiausaha Agung PBB ini, tetapi mereka tidak dapat bersama dengan kita dan 172 anggota lagi.
“Kalau kita lihat dari segi keanggota UNSC, daripada 15 anggota, 13 anggota bersama dengan kita. Malah, tiga anggota tetap UNSC bersama dengan kita dalam inisiatidf ini.
“Jadi saya harap dengan inisiaitif dari Malaysia ini, mereka dapat merapatkan lagi jurang perbezaan di antara mereka supaya UNSC dapat menghasilkan resolusi berkenaan tersebut. Kita harus optimis,” jelasnya.
Melihat kehadapan, beliau akui menjadi harapan Malaysia dan 171 lagi negara yang menyokong supaya inisiatif ini tidak akan terhenti, bahkan akan meniup dan mendorong ke arah penyelesaian konflik secara aman dan berkekalan.
#Datuk Syed Mohd Hasrin Tengku Hussin #gencatan senjata #kerajaan #keselamatan #koronavirus #Majlis Keselamatan PBB #pandemik #PBB #Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu #Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB #undang-undang #United Nations #UNSC
;