172,500 kampit beras mula diedar ke setiap isi rumah Johor hari ini

Aiman Hakeem Awazmin
April 27, 2022 07:52 MYT
Onn Hafiz berkata bagi mengelakkan daripada isu penerima tercicir, orang ramai boleh berhubung dengan pejabat daerah atau ADUN dan Penyelaras DUN. - Foto BERNAMA
ISKANDAR PUTERI: Lebih 172,500 kampit beras akan diedarkan secara serentak di setiap 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor, pada Rabu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sumbangan menerusi inisiatif Program Bantuan Kasih Bangsa Johor itu akan diagihkan sehingga 3 Mei depan, menjelang hari raya Aidilfitri.
Katanya, bantuan akan diteruskan sehingga 31 Mei depan bagi siri agihan seterusnya, melibatkan 903,000 penerima secara keseluruhan.
Jelas Onn Hafiz, menerusi usaha itu, setiap ketua isi rumah di Johor akan menerima satu kampit beras 10 kilogram.
“Selagi anda warga Johor, anda akan dapat bantuan ini. Maksudnya setiap isi rumah warganegara Malaysia Johor akan mendapat 1 kampit beras 10kg.
“Ini adalah sedikit bantuan kepada semua rakyat. Kita tak hendak kata tak pernah dapat bantuan daripada kerajaan, ini satu tanda penghargaan kerajaan negeri kepada rakyat Johor, maka semua rumah akan mendapat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Bantuan Beras Bangsa Johor di Iskandar Puteri, pada Rabu.
Tambahnya, sebanyak RM23.67 juta diperuntukkan dalam menjayakan bantuan berkenaan.
Beliau berharap, usaha kerajaan negeri itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang dihadapi penduduk.
Dalam pada itu beliau memaklumkan pelantikan sementara Barisan Penyelaras DUN akan dibuat bagi menjamin kelancaran agihan bantuan tersebut terutamanya di kawasan DUN pembangkang.
#sumbangan beras #Menteri Besar Johor #onn hafiz ghazi #adun johor #Bantuan beras Bangsa Johor