171 sekolah di Kedah rosak akibat ribut

Bernama
Ogos 11, 2019 05:26 MYT
Ribut yang melanda banyak tempat di utara Semenanjung Malaysia meninggalkan banyak kesan kerosakan pada infrastruktur awam. - Bernama
Sebanyak 171 sekolah di beberapa daerah di Kedah direkodkan mengalami kerosakan, antaranya pada bahagian bumbung dan siling bangunan sekolah itu, akibat kejadian ribut Jumaat malam lepas, setakat 10 malam Ahad.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah Dr Salmee Said berkata daerah yang terlibat adalah Langkawi, Pendang, Sik, Baling, Kota Setar, Kubang Pasu, Kuala Muda, Yan, Padang Terap dan Kulim-Bandar Baharu.
"Kerosakan di semua sekolah itu akan dibaiki segera, tetapi mengambil masa sebulan juga (untuk kesemua sekolah itu siap dibaik pulih)," katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Ahad malam.
Dr Salmee berkata bagaimanapun masa terdekat ini sesi pengajaran dan pembelajaran pelajar tidak terjejas, memandangkan mereka sedang bercuti Raya Aidiladha dan cuti sekolah sehingga 17 Ogos depan.
-- BERNAMA
#baik pulih sekolah #cuti sekolah #pembelajaran #ribut #ribut utara semenanjung #sekolah rosak #tempias taufan lekima
;