17 rumah setinggan atas air musnah dalam kebakaran

Petrus Bernard
Januari 19, 2023 17:57 MYT
Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna dan Kunak bertungkus lumus mengawal api daripada merebak ke rumah lain. - Foto JBPM Sabah
SEMPORNA: Sekurang-kurangnya 17 rumah setinggan atas air di Kampung Bangau-Bangau, di sini,musnah dalam kebakaran hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, semua rumah jenis tidak kekal berkenaan dilaporkan musnah sepenuhnya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 9.20 pagi.
Katanya, sepasukan 20 anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna dan Kunak terus dikerah ke lokasi untuk menjalankan operasi memadamkan kebakaran.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, operasi pemadaman terus dijalankan bagi mengawal api daripada terus merebak ke rumah berhampiran.
“Operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 60 meter dengan dua pancutan menggunakan sumber air terbuka,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, operasi bagaimanapun sedikit terjejas berikutan keadaan air laut cetek sehingga menyukarkan pasukan operasi sampai ke lokasi kejadian.
Katanya, pasukan operasi terpaksa berjalan sejauh 150 meter dari bot untuk sampai ke kawasan kebakaran.
“Api berjaya dikawal pada jam 9.58 pagi dan operasi pemadaman diteruskan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain.
“Operasi akhirnya berjaya ditamatkan pada jam 11.15 pagi,” katanya.
#kebakaran #setinggan #Sabah #Semporna
;