17 remaja ditahan bantu siasatan kes bunuh

Bernama
Mei 21, 2018 05:38 MYT
MAZLAN: Pergaduhan yang berlaku di Taman Melati pagi Ahad ialah susulan kejadian pukul di Taman Tasik Titiwangsa minggu lepas yang melibatkan salah faham antara dua kumpulan. - BERNAMA/Fail
Polis menahan 17 remaja termasuk tiga perempuan bagi membantu siasatan susulan penemuan mayat lelaki yang dikaitkan dengan pergaduhan di hadapan sebuah restoran makanan segera di Taman Melati di sini awal pagi Ahad.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata kesemua remaja itu berusia antara 14 hingga 20 tahun manakala 16 lagi suspek kini diburu berhubung kejadian kira-kira 4 pagi itu.
"Polis menerima aduan mengenai kes pergaduhan itu pada 4.31 pagi Ahad dan bertindak atas maklumat tersebut, polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui satu mayat lelaki berbangsa Melayu," katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.
Mazlan berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan bermula di kawasan letak kereta sebuah stesen minyak di Taman Melati pada kira-kira 4 pagi dan berlarutan ke tepi jalan Lebuh Raya Lingkaran Te­ngah Dua (MRR2) menghala ke Gombak. Stesen minyak itu terletak dekat restoran makanan segera berkenaan.
Pergaduhan itu, katanya, susulan kejadian pukul di Taman Tasik Titiwangsa minggu lepas melibatkan dua kumpulan susulan salah faham.
Berikutan kejadian itu, Mazlan berkata kedua-dua pihak bersepakat untuk berjumpa sekali lagi di sebuah stesen minyak di Taman Melati dan tercetus pergaduhan melibatkan kedua-dua pihak dengan menggunakan topi keledar dan besi pengunci motosikal sebagai senjata.
Beliau berkata ujian saringan air kencing ke atas semua yang ditahan mendapati dua daripada mereka positif dadah.
Kesemua mereka ditahan reman tujuh hari bermula semalam hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan yang dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Maklumat mengenai suspek-suspek yang masih bebas boleh disalurkan kepada kepada Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, ASP G. Stephen di talian 03-9289 9222 atau 016-376 7390. -- Bernama
#kes bunuh #kes gaduh #mayat #Mazlan Lazim #motosikal #Polis Kuala Lumpur #remaja #Taman Melati #Taman Tasik Titiwangsa
;