17 pengikut Millah Abraham ditahan di Johor

Astro Awani
Ogos 5, 2024 00:15 MYT
17 individu ditahan kerana disyaki pengikut kepada ajaran itu dengan sebutan kes di mahkamah ditetapkan Selasa ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sejumlah 17 individu disyaki pengikut ajaran sesat Millah Abraham ditahan dalam operasi bersepadu di empat daerah sekitar Johor, Khamis lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khaled dalam catatan di akaun Facebook miliknya berkata, kesemua 17 individu itu ditahan dalam operasi serentak dijalankan di Batu Pahat, Pontian, Muar dan Segamat.
Katanya, operasi khas dinamakan Ops Milab itu membabitkan kerjasama bahagian penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), cawangan khas Bukit Aman dan cawangan khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Bahru.
Ops Milab dilaksanakan di empat daerah secara serentak Khamis lalu bagi membanteras penyebaran ajaran dan fahaman Millah Abraham.
Ajaran Millah Abraham difatwakan sesat di Johor pada 30 Julai 2015 dan diwartakan pada 28 April 2016, sebagai ajaran dan fahaman yang menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Katanya, hasil operasi bersepadu berkenaan, 17 individu ditahan kerana disyaki pengikut kepada ajaran itu dengan sebutan kes di mahkamah ditetapkan Selasa ini.
Pada 17 Julai lalu, JAINJ dilaporkan mengesahkan menerima laporan polis berkaitan ajaran sesat Millah Abraham, di Johor.
Antara fahaman salah ajaran ini ialah ahlinya percaya sembelihan dibuat bukan ahli tidak sah, selain mempercayai kewujudan nabi baharu dan ada syahadah berbeza.
#Ops Milab #millah abraham #Mohd Fared Mohd Khaled #ajaran sesat