17 motosikal musnah bengkel terbakar
Bernama
Jun 9, 2018 04:00 MYT
Jun 9, 2018 04:00 MYT
Sebanyak 17 motosikal musnah dalam kebakaran di sebuah bengkel motosikal di Sungai Rusa di sini, pada Sabtu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.37 tengah hari semalam, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Balik Pulau dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Semasa tiba, api sedang marak dan sebahagian kedai setingkat itu musnah terbakar. Pihak bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawal api daripada marak sebelum kebakaran tersebut berjaya dipadamkan pada 1.15 petang," katanya di sini pada Sabtu.
Beliau berkata pelbagai komponen serta alat ganti kenderaan turut musnah dalam kebakaran tersebut.
Katanya tiada kemalangan jiwa dan sesiapa cedera dalam kebakaran itu selepas pemilik bengkel dan pekerjanya sempat menyelamatkan diri sebaik menyedari mengenai kejadian berkenaan.
Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya DSP Jafri Md Zain berkata menurut pemilik bengkel itu, dia ternampak percikan api di kotak suis elektrik yang terdapat dalam kedainya sebelum cuba menyelamatkan motosikal pelanggannya.
"Menurut lelaki berusia 49 tahun itu, dia cuba memadamkan kebakaran tapi tidak berjaya dan api merebak dengan cepat malah mangsa juga tidak sempat mengeluarkan motosikal pelanggannya yang sedang dibaiki di bengkel tersebut," katanya.
Difahamkan, pemilik bengkel berkenaan mengalami kerugian lebih RM50,000 dalam kejadian kebakaran tersebut.
-- BERNAMA