17 kematian warga Indonesia dicatatkan di Depot JIM Tawau dalam tempoh 18 bulan

Petrus Bernard
Ogos 17, 2022 15:39 MYT
Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia Tawau, Heni Hamidah berkata, antara punca kematian warga Indonesia dalam depot itu ialah disebabkan penyakit bawaan seperti sakit jantung dan pneumonia.
TAWAU: Depot Tahanan Imigresen Tawau mencatatkan 17 kematian tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dalam tempoh 18 bulan sejak tahun lalu sehingga Jun 2022.
Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau, Heni Hamidah berkata, antara punca kematian mengikut laporan bedah siasat yang diterima ialah disebabkan penyakit bawaan seperti sakit jantung dan pneumonia.
Menurut beliau, sebanyak 11 kematian direkodkan di depot berkenaan sepanjang 2021, sementara enam lagi direkodkan pada 2022.
Heni berkata, pihaknya telah memaklumkan pihak pengurusan depot tersebut agar segera memberikan rawatan kepada setiap tahanan Indonesia yang sakit selain penjagaan kebersihan bilik tahanan termasuk kekerapan semburan nyah kuman (sanitasi).
"Daripada pihak kami tentunya, kami sudah maklumkan kepada pihak imigresen agar warga Indonesia yang menderita sakit di Penampungan dapat ditangani segera dan diberikan rawatan dan tentunya kami harapkan fasilitas di depot juga dapat diperbaiki kerana kepadatan tahanan dan sanitasi yang perlu di lakukan,” kata Heni.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan upacara peringatan Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Republik Indonesia yang ke-77 di perkarangan KRI Tawau pada Rabu.
Sementara itu, Heni berkata, pihaknya juga sedang giat mempercepatkan proses penghantaran pulang warganya ke Indonesia.
Pada Julai lalu, kata beliau, seramai 239 orang telah dihantar pulang menjadikan jumlah tahanan warga Indonesia yang masih ada di Depot Tahanan Imigresen Tawau kini seramai 164 orang.
Heni juga berharap sempena hari kemerdekaan Indonesia yang ke-77 tahun ini, hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia semakin baik.
Mengulas lanjut pembangunan yang giat berjalan di Kalimantan berhubung perpindahan ibu kota indonesia ke wilayah itu, Heni menyambut baik pembangunan yang dilakukan di Sabah khususnya di daerah Tawau untuk tujuan kerjasama ekonomi yang baik.
"Untuk 77 tahun ini kita harapkan kerjasama Indonesia dan Malaysia tentunya semakin baik dan seiring dengan pembangunan yang di lakukan di Sabah dan juga di Indonesia khususnya di Kalimantan Utara, kita harap ini boleh membuka jalur jalur perhubugan baru untuk mengembangkan hubungan ekonomi,” jelas beliau lagi.
#17 kematian #warga Indonesia #Depot Tahanan Imigresen Tawau #Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia
;