17 ditahan reman susulan perhimpunan #LangkahSiswa
Hakim Rahman
Ogos 26, 2015 20:11 MYT
Ogos 26, 2015 20:11 MYT
Seramai 16 pelajar dan seorang aktivis dari kumpulan #LangkahSiswa ditahan reman hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan #LangkahSiswa pada Selasa.
Semua yang ditahan termasuk 14 lelaki dan tiga wanita.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, semua mereka ditahan kira -kira jam 10 malam semalam selepas enggan bersurai di hadapan bangunan Parlimen.
Menurutnya, sepasukan anggota dan pegawai polis telah memberikan amaran dan mengarahkan kumpulan tersebut beredar kerana berada kurang 50 meter dari kawasan Parlimen.
"Tindakan mereka menyalahi undang-undang dan ketika tangkapan terdapat kira-kira 25 orang berada di situ (termasuk pemerhati)," katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.
Jelas Munusamy, pihaknya juga telah mengarahkan kepada peserta masuk ke dalam trak polis sendiri dan mereka tidak akan digari.
Bagaimanapun, tambahnya lagi tiada seorang pun dari kalangan peserta itu mengikut arahan.
"Polis mengarahkan peserta untuk naik ke dalam trak, namun mereka enggan menyebabkan beberapa orang terpaksa digari dengan menggunakan pita pengikat," katanya.
Kumpulan yang terdiri daripada 30 mahasiswa berkumpul sejak Ahad lalu mengadakan protes duduk di luar perkarangan Parlimen bagi menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak meletak jawatan.
Kumpulan yang menggelar diri mereka Langkah Siswa memulakan protes dengan berarak ketika hujan lebat bermula dari bangunan Bank Negara Malaysia di Jalan Dato' Onn, Kuala Lumpur ke bangunan Parlimen.
Mereka kemudiannya berkhemah di luar Parlimen sehinggalah polis menahan mereka pada Selasa malam.