17,000 penerima kad makanan dan kesihatan di Perak tahun depan

Abd Razak Mohd Ali
November 27, 2018 06:00 MYT
AHMAD FAIZAL: Pemberian kad makanan dan kesihatan adalah contoh konsep bantuan bersasar yang benar-benar dapat membantu golongan yang memerlukan berbanding pemberian wang tunai. - BERNAMA/Fail
Perak akan memperkenalkan kad makanan dan kesihatan kepada 17,000 penerima membabitkan peruntukan sebanyak RM22 juta bermula Januari tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sejumlah RM17 juta disediakan untuk kad makanan dan RM5 juta bagi kad kesihatan sepanjang tahun 2019.
Menurut beiau, kemudahan itu akan diselaraskan di bawah Yayasan Perak dengan penyediaan nilai kad makanan sejumlah RM80 sebulan dan RM300 setahun bagi kad kesihatan kepada setiap penerima.
"Bantuan yang pertama kali diperkenalkan di Perak ini adalah tambahan kepada bantuan pemberian Kotak Harapan yang disediakan dengan peruntukan RM1 juta.
"Ini adalah contoh konsep bantuan bersasar yang benar-benar dapat membantu golongan yang memerlukan berbanding pemberian wang tunai," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 negeri Perak pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Selasa.
Ahmad Faizal berkata, pemberian kad itu juga dapat mengelakkan penyalahgunaan bantuan oleh sesetengah penerima yang akhirnya membuatkan bantuan yang diberikan tidak mencapai matlamat.
#Ahmad Faizal Azumu #belanjawan perak #kad kesihatan #kad makanan #Kerajaan Negeri Perak
;