160 pegawai Jakim ditempatkan di hospital tangani kes kemurungan - Menteri Agama
Afiezy Azaman
Jun 28, 2021 12:32 MYT
Jun 28, 2021 12:32 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 160 pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terlatih akan ditempatkan di hospital seluruh Malaysia untuk menangani kes kemurungan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri, perkhidmatan psikospiritual, khidmat nasihat dan Ilaj Syarie terbabit juga akan diperluaskan kepada agensi-agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Ini bagi menangani masalah kerohanian dan kemurungan dalam kalangan pesakit dan juga kakitangan hospital sendiri akibat pandemik COVID-19 dan permasalahan lain.
"Bagi mencapai matlamat tersebut, seramai 160 peserta yang terdiri daripada Kader Post Jakim akan berkhidmat di hospital seluruh Malaysia.
"Ini termasuk Pegawai Mesra Ibadah lantikan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Spiritual Provider lantikan Hospital Rehab Cheras yang akan diberi latihan," katanya di Facebook, pada Isnin.
Sejak kebelakangan ini, banyak pihak menyuarakan kebimbangan mengenai kes bunuh diri yang dilihat semakin meningkat dalam negara.
#Facebook
#JAKIM
#KKM
#Kementerian Kesihatan
#COVID-19
#pandemik
#Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
#hal ehwal agama
#Kemurungan
#bunuh diri