160,000 pekerjaan baru bakal diwujudkan tahun ini - Zafrul

Ridauddin Daud
Februari 10, 2021 15:42 MYT
TENGKU ZAFRUL: -Perkara lebih penting sekarang adalah usaha kerajaan di dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan 500,000 peluang pekerjaan pada tahun 2021 walaupun dalam persekitaran amat mencabar." - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Majlis Pekerjaan Negara (MPN) melaporkan lebih daripada 160,000 pekerjaan baharu bakal diwujudkan bagi tahun 2021 melalui pelaburan komited.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, data tersebut diperoleh daripada mesyuarat terbaharu majlis itu pada 9 Februari 2021.
“Diharapkan dengan usaha bersama semua pihak yang terlibat, kadar pengangguran 4.8 peratus yang dicatatkan pada hujung Disember 2020 dapat kita kurangkan di dalam bulan-bulan yang mendatang.
“Terutamanya dengan adanya usaha-usaha berterusan Kerajaan ke arah ini seperti portal MyFutureJobs (https://www.myfuturejobs.gov.my/) dan platform e-LATiH (https://latih.hrdf.com.my/) Kementerian Sumber Manusia,” katanya.
Laporan LAKSANA ke-40 oleh Menteri Kewangan
Menurutnya, kerajaan sentiasa cakna dengan kadar pengangguran pada bulan Disember yang mencapai tahap 4.8 peratus, sama seperti November 2020.
“Perkara lebih penting sekarang adalah usaha kerajaan di dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan 500,000 peluang pekerjaan pada tahun 2021 walaupun dalam persekitaran amat mencabar.
“Tambahan petugas kesihatan juga boleh dilihat sebagai salah satu inisiatif kerajaan bagi mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam kategori pekerjaan yang kritikal,” ujarnya.
Sementara itu, Zafrul memaklumkan skim MySalam telah mendapat respons yang memberangsangkan, kerana ia merupakan suatu bentuk jaringan sosial bagi lebih kurang 8 juta golongan berpendapatan rendah dan OKU.
“Skim ini merangkumi rawatan kesihatan bagi 45 penyakit kritikal dan membuktikan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat khususnya di dalam menangani jangkitan COVID-19 di masa kini,” katanya.
#Zafrul Aziz #Menteri Kewangan #ekonomi #kerajaan #kesihatan #rakyat #pelaburan #menteri #COVID-19 #petugas kesihatan #Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz #pekerjaan #peluang kerja #graduan #penganggur
;