16 Senator mahu Dewan Negara bersidang, perbetulkan keadaan di Dewan Rakyat

Firdaus Azil
Ogos 3, 2021 11:13 MYT
Mengambil kira keadaan semasa dan ketidak-aturan yang berlaku di Dewan Rakyat, 16 senator berpendapat wajar untuk Dewan Negara mengambil peluang ini untuk membetulkan keadaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sejumlah 16 Senator menyatakan kesediaan mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar Parlimen bersidang dan membahaskan Proklamasi dan Ordinan Darurat serta perkara-perkara berkaitan.
Mereka berkata, berdasarkan Fasal 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, proklamasi dan ordinan-ordinan tersebut bukan sahaja perlu dibentangkan di Dewan Rakyat, malah wajib juga dibentangkan di Dewan Negara.
Tegas mereka lagi, menerusi surat yang diutus kepada Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim hari ini, titah Agong yang telah mengangkat ketinggian Parlimen sebagai institusi rakyat, perlu dihormati.
“Seperti Tan Sri maklum, mengikut Fasal 44 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong juga merupakan sebahagian komponen penting Parlimen Malaysia.
“Adalah sesuatu yang mendukacitakan kami apabila titah baginda yang dipertegaskan beberapa kali tidak dihormati,” kata mereka.
BACA: Dewan Negara selamat untuk bersidang, PH kesal sidang ditangguh tak ikut peraturan
BACA: Mesyuarat Khas Parlimen: Ahli Parlimen Pembangkang tetap hadir hari ini
Semalam, Mesyuarat Khas Parlimen yang sepatutnya berlangsung untuk hari kelima di Dewan Rakyat ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Menurut Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin, pemakluman dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Perkara sama turut dimaklumkan oleh Setiausaha Dewan Negara Muhd Sujairi Abdullah kepada kesemua Ahli-ahli Dewan Negara dalam sepucuk surat bertarikh 1 Ogos.
Terdahulu pada Ahad, Kementerian Kesihatan mencadangkan semua sesi mesyuarat di Parlimen termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen ditangguhkan untuk tempoh dua minggu bermula 29 Julai.
Dalam surat hari ini, 16 Senator itu juga berpandangan, menjadi kewajipan mereka menghormati sumpah pelantikan serta kepentingan-kepentingan untuk memastikan Dewan Negara dihormati.
Mereka berpandangan, Dewan Negara adalah Dewan Legislatif tertinggi yang diwujudkan dengan tujuan utama menyemak imbang hal ehwal legislatif di Parlimen Malaysia.
Mengambil kira keadaan semasa dan ketidak-aturan yang berlaku di Dewan Rakyat, tambah mereka, Dewan Negara wajar mengambil peluang membetulkan keadaan bagi memartabatkan kedudukannya.
“Sehubungan dengan itu, kami menggesa titah Agong dilaksanakan untuk Dewan Negara dapat bersidang agar kita sama-sama mencari solusi terhadap krisis COVID-19 ini demi kepentingan rakyat.
“Kami berbesar hati untuk bertemu dengan Tan Sri untuk berbincang bagaimana niat murni kami dapat kita sama-sama laksanakan demi kepentingan rakyat dan negara,” menurut surat itu lagi.
Enam belas senator yang nama mereka tersenarai di dalam surat tersebut ialah:
Raj Munni Sabu (Merangkap Anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara)
Datuk Theodore Doughlas (Merangkap Anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara)
Datuk Ismail Yusop (Merangkap Anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara)
Mohd Yusmadi Mohd Yusoff
Datuk Husam Musa
Dr Yaakob Sapari
Datuk Donald Peter Mojuntin
Manolan Mohamad
Laksamana (B) Mohd Imran Abdul Hamid
Dr Ahmad Azam Hamzah
Lim Hui Ying
Nga Hock Cheh
Alan Ling Sie Kiong
Adrian Banie Lasimbang
Kesavadas Achyuthan Nair
Suresh Singh
#Dewan Negara #Yang di-Pertuan Agong #Rais Yatim #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #COVID-19 #Mesyuarat Khas #surat #seantor #Ahli Dewan Negara #herd immunity #derhaka #Perlembagaan Persekutuan #Dewan Rakyat #Parlimen
;