16 peserta acara nyalaan lilin kenang korban COVID-19 fail saman terhadap polis

Astro Awani
Disember 30, 2021 16:46 MYT
Pada sidang media oleh Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) bagi pihak 16 plaintif, Sin Yew berkata 16 peserta itu meminta ganti rugi am dan pampasan RM1,000 untuk telefon bimbit yang rosak. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Peserta "Malam Belasungkawa Jiwa-Jiwa Yang Telah Pergi" memfailkan saman sivil terhadap polis atas dakwaan "penangkapan salah" terhadap mereka.
Menurut peguam plaintif New Sin Yew, 16 peserta acara nyalaan lilin mengenang korban COVID-19 itu memohon pengisytiharan mahkamah bahawa hak mereka seperti yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan telah dicabuli semasa perhimpunan 19 Ogos lalu.
Pada sidang media oleh Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) bagi pihak 16 plaintif, Sin Yew berkata 16 peserta itu meminta ganti rugi am dan pampasan RM1,000 untuk telefon bimbit yang rosak.
“Kes ini amat penting untuk dibawa ke mahkamah kerana kes ini merupakan cerminan kepada doktrin pembahagian kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita.
"Kekhilafan dan salah laku oleh mereka yang berkuasa haruslah disemak dan diimbang. Tingkah laku pihak PDRM pada malam 19 Ogos menunjukkan salah guna kuasa yang ketara dan pengabaian akan hak asasi setiap rakyat Malaysia yang sedia ada dalam Perlembagaan kita," katanya.
Plaintif menamakan ketua polis, polis, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.
Manakala jurucakap SSR, Asraf Sharafi 16 peserta itu membawa pihak berkenaan ke mahkamah kerana "serangan yang tidak wajar, pelanggaran tanggungjawab berkanun dan salah laku jawatan awam".
Katanya, mereka menuntut mahkamah mengisytiharkan tindakan polis itu melanggar hak perlembagaan mereka seperti yang termaktub di bawah Perkara 5, 8, 9 dan 10.
"Saya telah melihat bagaimana peserta diheret, ditengking dan didera oleh pihak polis pada malam itu. Ini bukanlah ciri negara yang demokratik dan kerajaan yang “prihatin”.
"Malam peringatan itu adalah cerminan derita rakyat di luar sana. Tapi tindak balas kerajaan bukanlah untuk mengerti dan menyelesaikan masalah rakyat tapi untuk mendiamkan tangisan mereka.
"Bukankah kerajaan itu harus adil dan mengerti? Bukankah zalim kalau keperitan kita semua diabaikan begitu sahaja?” katanya.
Pada malam kejadian, seramai 31 individu telah ditahan ketika acara nyalaan lilin itu, termasuk anggota SSR.
#Malam Belasungkawa Jiwa-Jiwa Yang Telah Pergi #16 peserta #COVID-19 #nyalaan lilin #korban COVID-19
;