16 Orang Asli ditahan dalam operasi roboh sekatan balak di Gua Musang

Bernama
November 29, 2016 21:27 MYT
Difahamkan operasi merobohkan sekatan laluan keluar balak itu terpaksa dilakukan selepas rundingan yang dilakukan oleh kerajaan negeri dengan Orang Asli menemui jalan buntu. - Gambar fail
Enam belas individu dipercayai aktivis Orang Asli ditahan dalam operasi merobohkan sekatan laluan balak di Kampung Tohoi, Gua Musang, bermula pagi tadi.
Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata kesemua individu itu bukan ditangkap tetapi ditahan untuk diambil keterangan.
"Jabatan Perhutanan Kelantan mengetuai operasi tersebut dan kehadiran anggota polis adalah sebagai bantuan sahaja bagi mengawasi kejadian yang tidak diingini.
"Operasi berjalan lancar dan tidak timbul sebarang insiden yang tidak diingini," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Ab Rahman berkata dalam operasi itu kesemua yang ditahan adalah golongan remaja ataupun pelajar sekolah yang berkemungkinan telah dieksploitasi pihak tertentu.
"Apa yang kita lihat, dalang di sebalik kejadian sekatan itu sudah melarikan diri. Kita juga turut merobohkan bangsal yang dibina di kawasan tersebut yang dijadikan tempat Orang Asli berkumpul membuat sekatan," katanya.
Beliau berkata dalam operasi itu polis turut merampas alat sumpitan dipercayai milik masyarakat Orang Asli yang berada di kawasan sekatan.
Katanya operasi itu turut membabitkan kira-kira 200 pegawai dan kakitangan Jabatan Perhutanan Kelantan, polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan.
Difahamkan operasi merobohkan sekatan laluan keluar balak itu terpaksa dilakukan selepas rundingan yang dilakukan oleh kerajaan negeri dengan Orang Asli menemui jalan buntu dipercayai disebabkan ada campur tangan pihak luar.
Sebelum ini Jabatan Perhutanan Kelantan telah mengeluarkan notis agar sekatan dirobohkan namun Orang Asli di kawasan itu tetap bertegas dengan tindakan mereka sehingga memaksa pihak berkuasa campur tangan. -- Bernama
#Gua Musang #HSK Perias dan HSK Gunung Stong Selatan #Hutan Simpan Kekal Balah #Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan #Orang Asli
;