16 kenderaan musnah dalam kebakaran dua bengkel

Adie Sufian Zulkefli
Februari 26, 2024 10:45 MYT
Sebanyak 16 buah kenderaan termasuk lima buah kereta serta 11 motosikal musnah dalam kebakaran membabitkan dua buah bengkel di Taman Keladi, Sungai Petani, awal pagi Isnin. - Gambar ihsan Bomba
SUNGAI PETANI: Sebanyak 16 buah kenderaan termasuk lima buah kereta serta 11 motosikal musnah dalam kebakaran membabitkan dua buah bengkel di Taman Keladi, di sini, awal pagi Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba I Ismail Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 5.23 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Sungai Petani yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Muhamad Rahimi Abu Hasan bersama 11 anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.
"Operasi turut dibantu sepasukan anggota dari BBP Aman Jaya seramai enam orang dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Sungai Petani dan Bakar Arang.
"Pasukan keluaran operasi (PKO) melaporkan, sebaik tiba di lokasi kejadian, terdapat dua buah bengkel membabitkan kereta dan motosikal musnah dalam kebakaran.
"Tindakan yang dilakukan anggota Bomba adalah dengan memadam kebakaran dari terus merebak dan api berjaya dikawal pada jam 5.45 pagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismail berkata, kebakaran dua bengkel itu menyebabkan 11 motosikal dan lima buah kereta musnah terbakar.
Bagaimanapun, jelas beliau, kebakaran itu tidak membabitkan mangsa dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
"Operasi tamat pada jam 6.36 pagi dan setakat ini punca serta kerugian masih dalam siasatan," katanya.
#kebakaran #16 kenderaan musnah #dua bengkel terbakar #Taman Keladi Sungai Petani
;