16 individu terperangkap, runtuhan siling pangsapuri

Afiezy Azaman
Februari 28, 2020 07:13 MYT
Runtuhan dipercayai berpunca daripada paip sistem 'sprinkler' yang runtuh bersama-sama siling bangunan. - Foto ihsan bomba
Seramai 16 individu cemas apabila terperangkap di dalam rumah masing-masing akibat runtuhan siling sebuah pangsapuri di Jalan Ang Seng, Brickfields, di sini, pagi ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur (JBPM KL), pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.10 pagi.
"Seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dan BBP Pantai diketuai Penolong Kanan Pegawai Bomba Mohd Khairul Azmi Jaafar digerakkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi, pihak bomba mendapati berlaku runtuhan siling di tingkat 12 pangsapuri tersebut," katanya dalam satu kenyataan awal pagi ini.
Mengulas lanjut, Mohd Khairul Azmi berkata runtuhan dipercayai berpunca daripada paip sistem 'sprinkler' yang runtuh bersama-sama siling bangunan.
"Runtuhan berlaku di sepanjang bahagian koridor bangunan dan tidak melibatkan struktur utama bangunan.
"Akibat kejadian seramai 16 individu melibatkan 15 buah rumah terperangkap namun tiada kecederaan dialami mereka," jelasnya.
Bagaimanapun kesemua mangsa telah berjaya dipindahkan ke lokasi selamat oleh pihak bomba dan punca sebenarnya kejadian masih dalam siasaran.
#bomba #Brickfields #Jalan Ang Seng #JBPM KL #mangsa #Mohd Khairul Azmi Jaafar #operasi #pangsapuri #runtuh #runtuhan #siling runtuh #sistem sprinkler #terperangkap
;