16,449 pesakit menunggu buah pinggang baru
Astro Awani
Februari 16, 2013 10:29 MYT
Februari 16, 2013 10:29 MYT
Malaysia merupakan antara negara dengan pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang paling ramai di dunia.
Seramai 16,449 pesakit, berada dalam senarai menunggu untuk pemindahan buah pinggang.
Bagaimanapun hanya 212 organ berkenaan yang diderma sehingga Januari tahun ini, selebihnya masih menunggu organ baru.
Seperti Ismail Osman, 60, menjalani rutin yang sama selama 10 tahun. Setiap tiga kali seminggu, dia menjalani proses dialysis untuk membersihkan buah pinggangnya.
Penantian yang begitu lama dengan umur semakin lanjut, harapan Ismail untuk organ baru semakin tipis.
Sehingga kini masih tiada penderma organ yang sesuai, menyebabkan Ismail terpaksa menjalani kehidupan sebegini sampai akhir hayat.
Nasib sama juga menimpa Rajamani, 69 tahun yang bergantung kepada mesin dialisis sejak lima tahun lalu.
Punca kegagalan buah pinggang sering dikaitkan dengan penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi.
Separuh daripada pesakit ini boleh diselamatkan dengan menjalani pemindahan organ, namun begitu bilangan penderma organ amat kurang.
"Ada penderma organ yang telah memberi kebenaran untuk memberikan organ, namun bila tima masanya keluarga tidak benarkan atas sebab emosi atau tidak mahu orang yang disayangi dibedah" Kata Menurut Doktor Foo Siu Mei, Pakar Perunding Nefrologi, yang ditemui pemberita.
Dengan peningkatan pesakit buah pinggang yang semakin membimbangkan, kesedaran derma organ penting untuk elak kesengsaraan.
Bagi pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang, mereka terpaksa bergantung kepada alat dialisis ini untuk membersihkan organ mereka.
Namun ia akan menjejaskan kualiti hidup mereka di mana mereka terpaksa datang ke pusat dialisis tiga kali seminggu dan menjalani proses yang mengambil masa 4 hingga 5 jam.
Justeru itu dengan pemindahan organ ia bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti hidup seseorang malah dapat memanjangkan hayat pesakit.