16,000kg daging segar dijual pada 'Program Mantai Rayo' Negeri Sembilan

Bernama
Mac 20, 2024 05:30 MYT
Acara tradisi masyarakat Negeri Sembilan itu diteruskan dengan menawarkan harga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran. - Gambar hiasan/BERNAMA
SEREMBAN: Kira-kira 16,000 kilogram daging pejal atau 160 ekor lembu disediakan untuk rakyat negeri ini sempena jualan 'Program Mantai Rayo Negeri Sembilan' menjelang sambutan Aidilfitri bulan depan.
Exco Kanan negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata acara tradisi masyarakat Negeri Sembilan itu diteruskan dengan menawarkan harga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran termasuk jualan daging ayam dan keperluan asas lain pada 7 April ini.
Beliau berkata jualan Mantai itu diadakan secara serentak di lapan Parlimen di negeri itu melibatkan 20 lokasi terpilih bermula 7 pagi hingga stok habis.
"Objektifnya untuk memberi kemudahan kepada masyarakat di negeri ini membeli barangan mentah dengan lebih murah bagi persediaan juadah hari raya.
"Kerajaan negeri meneruskan tradisi turun-temurun ini dan membuat sedikit transformasi supaya pengguna dapat membeli pada harga rendah dan berkualiti tinggi," katanya kepada pemberita di Wisma Negeri di sini pada Rabu.
Menurutnya Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri meletakkan spesifikasi khusus kepada penternak terlibat iaitu setiap lembu harus melepasi piawaian ditetapkan seperti cukup umur, sihat dan sebagainya, manakala had pembelian adalah dua kilogram bagi setiap pembeli.
Jalaluddin berkata maklumat terperinci mengenai harga serta jualan program itu akan diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun pada 3 April ini.
-- BERNAMA
#Aminuddin Harun #Program Mantai Rayo #Aidilfitri #daging
;