155 penghuni setinggan di Jalan Kebun Teh Lama, Johor Bahru hilang tempat tinggal
Bernama
Januari 8, 2016 07:24 MYT
Januari 8, 2016 07:24 MYT
Sejumlah 155 mangsa kehilangan tempat tinggal apabila kawasan setinggan diduduki mereka di Jalan Kebun Teh Lama, dekat sini, hangus dijilat api dalam satu kebakaran kira-kira lima petang Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru Ibrahim Omar berkata sebanyak 27 rumah setinggan setakat ini hangus dalam kejadian itu.
Bagaimanapun, setakat 9.30 malam ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, kata beliau yang juga Komander Operasi, dalam satu kenyataan di sini.
Ibrahim berkata pihak bomba yang menerima panggilan pada pukul 5.18 petang itu, berjaya mengawal kebakaran pada pukul 7.49 malam.
Sehingga berita ini ditulis, operasi memadam kebakaran sepenuhnya masih dijalankan.
Katanya operasi itu turut melibatkan lima buah balai dengan kekuatan 41 anggota dan 12 jentera.
Sementara itu salah seorang mangsa Haniyah Adnan, 50, memberitahu wartawan dia hanya sempat membawa keluar cucu dari rumah dan tidak sempat menyelamatkan harta benda kerana kebakaran berlaku begitu pantas.
"Ketika kejadian, saya sedang memasak dan menyedari kebakaran selepas mendengar jeritan jiran saya dan terus berlari ke ruang tamu bagi selamatkan cucu serta anak dan menantu saya," kata ibu kepada empat orang anak itu.
Haniyah berkata dia tidak dapat memikirkan apa-apa melainkan hendak menyelamatkan keluarganya.
"Kerana itu, tiada barang yang sempat diselamatkan walaupun sehelai baju. Kini, kami hilang tempat berteduh dan tidak tahu nak tinggal di mana selepas ini," katanya yang menetap di situ sejak 18 tahun lalu.kata dirinya hanya mampu berdoa agar kebakaran segera dipadamkan.
Ketika kejadian, Samsiah baharu sahaja pulang dari tempat kerja dan segera menyelamatkan barang barang penting sambil dibantu oleh anak-anak dan suaminya.
"Rumah saya belum terbakar lagi, namun saya khuatir kerana merasakan banyak lagi rumah yang akan terbakar berikutan angin sangat kuat," kata Samsiah yang juga berharap agar hujan turun supaya kerja memadam api dipermudahkan.