155 individu disyaki terlibat GISB ditahan dalam Fasa 4 Op Global - PDRM

Madiha Abdullah
September 21, 2024 18:45 MYT
Fasa 4 Op Global yang tertumpu di semua negeri di Semenanjung Malaysia berjaya mengesan saki-baki ahli yang terlibat dengan organisasi GISB.
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu melancarkan Fasa 4 Op Global yang tertumpu di semua negeri di Semenanjung Malaysia bagi mengesan saki-baki ahli yang terlibat dengan organisasi Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd.

Ringkasan AI
  • Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Op Global Fasa 4 di Semenanjung Malaysia untuk mengesan ahli GISB, menahan 155 individu di 82 premis.
  • PDRM dan Jakim merampas risalah yang bercanggah dengan ajaran Islam serta barang khurafat, dan mendapati beberapa premis kosong.
  • Sebanyak 186 mangsa, termasuk seorang kanak-kanak yang viral di media sosial, berjaya diselamatkan.
  • Kesemua tangkapan disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Operasi pertama Fasa 4 itu berjaya menahan seramai 155 individu membabitkan 78 lelaki dan 77 wanita di 82 premis melibatkan rumah amal, klinik premis perniagaan, ma’ahad, dan rumah persendirian.
Melalui operasi yang dijalankan juga, PDRM mendapati beberapa premis dipercayai dihuni ahli GISB telah kosong.
PDRM bersama Jakim turut berjaya membuat beberapa rampasan ketika operasi dijalankan termasuk risalah-risalah mengandungi elemen-elemen yang dipercayai bercanggah dengan ajaran Islam serta barang khurafat.
Seramai 186 mangsa, terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita, berjaya diselamatkan. Ia termasuk seorang kanak-kanak yang tular di media sosial dirotan lelaki dipercayai ahli GISB.
Kesemua tangkapan telah dibawa ke formasi masing-masing dan disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Operasi Fasa 4 ini melibatkan kekuatan keseluruhan sebanyak 3,801 sumber manusia meliputi PDRM seramai 2,528 pegawai dan anggota serta 1,273 kakitangan agensi kerajaan yang lain antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jakim, Jabatan Kimia, dan Jabatan Pendaftaran Negara.
#fasa 4 #GISB #GISB Holdings #Global Ikhwan Services and Business #terkini
;