154 ikan larangan bernilai RM13,000 dirampas di Perak

Bernama
Oktober 7, 2024 17:02 MYT
Ikan alligator gar (kiri) dan gulper catfish adalah antara spesies yang dilarang untuk diimport, dijual, dipelihara, dipamer atau disimpan ketika hidup. - Facebook Xian Long Aquatic / Adobe Stock
IPOH: Jabatan Perikanan (DOF) Perak merampas 154 ekor ikan larangan dianggar bernilai RM13,000 dalam 24 operasi pemantauan (Ops Darat) melibatkan 30 premis di seluruh negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata rampasan terhadap ikan larangan itu melibatkan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
Beliau berkata spesies ikan dirampas adalah spesies yang dilarang untuk mengimport, menjual, memelihara, mempamer atau menyimpan (5M) ikan hidup mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import, DSB, Bagi Ikan) 1990 (Pindaan 2024), Seksyen 49 Akta 317.
"Sebanyak 15 premis yang diperiksa di Ipoh, Teluk Intan dan Ayer Tawar didapati melakukan kesalahan dan kita telah merampas 105 ikan larangan pelbagai spesies dianggar bernilai RM4,700.
"Operasi di Kampung Tawas, Ipoh hari ini pula menyita 42 ikan bongkok, alligator gar (3), baung ekor merah (2) dan masing-masing seekor flower horn dan gulper catfish dianggar bernilai RM8,300," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyertai Program Kesedaran dan Operasi Pemutihan Ikan Larangan di Premis/Kedai Akuarium Ikan Hiasan sekitar Ipoh yang turut dihadiri Pengarah Perikanan Perak Mohd Ghazali A Manap.
Terdahulu, Mohd Zolkafly turut mengadakan lawatan ke Kuil Guan Yin di sini bagi mengedar risalah dan poster ikan larangan yang tidak boleh dilepaskan ke sungai ketika ritual keagamaan dan membayar nazar.
Sementara itu, Mohd Ghazali berkata semua pengusaha ikan hiasan di negeri ini dinasihatkan tidak menjual atau memiliki ikan larangan yang mampu memberi risiko kepada ekosistem sungai.
Beliau berkata pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan terhadap kedai ikan hiasan bagi memastikan larangan terbabit dipatuhi.
-- BERNAMA
#ikan larangan #Akta Perikanan #operasi pemantauan #DoF perak #jabatan perikanan
;