152 ditahan terlibat judi pertaruhan EURO 2020 - Bukit Aman
Bernama
Jun 23, 2021 20:52 MYT
Jun 23, 2021 20:52 MYT
KUALA LUMPUR: Polis menahan 152 individu yang disyaki menyertai kegiatan catit taruh haram sempena kejohanan UEFA EURO 2020 dalam Operasi Soga VIII dari 10 Jun hingga 21 Jun lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata dalam tempoh itu juga polis merampas wang hasil pertaruhan sebanyak RM115,132 dengan had kredit pertaruhan berjumlah RM11,645, 227 daripada rekod pertaruhan individu dan sindiket tertentu.
"Fokus utama operasi ini adalah untuk mencegah dan membanteras kegiatan itu dan individu bertindak sebagai bookie/punter serta tempat yang menjalankan pertaruhan judi bola sepak EURO 2020," katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut dirampas ialah pelbagai peralatan antaranya peranti elektronik yang digunakan untuk aktiviti catit taruh haram seperti 24 set komputer; 11 unit komputer riba; 166 unit telefon bimbit; dan sembilan keping jadual perlawanan EURO 2020.
Abd Jalil berkata modus operandi kali ini agak berbeza dengan kebanyakan pertaruhan dibuat secara dalam talian disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan dan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Beliau berkata Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dan seluruh JSJ kontinjen akan melipatgandakan usaha bagi memantau dan mencegah kegiatan catit taruh haram sempena UEFA EURO 2020.
"PDRM memohon agar orang ramai dapat menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membanteras kegiatan yang tidak bermoral ini," katanya.
-- BERNAMA