152 buah rumah musnah dalam kebakaran di Likas

Ruzaini Zulkepli
Julai 24, 2018 09:18 MYT
152 buah rumah dilaporkan musnah dalam kebakaran yang berlaku di penempatan setinggan Kampung Cenderamata Dua. - Foto Astro AWANI
Sebanyak 152 buah rumah dilaporkan musnah dalam kebakaran yang berlaku di penempatan setinggan Kampung Cenderamata Dua, Likas, petang tadi.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa.
Ketua Zon 1 Sabah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Hamsa Isnurdini ketika ditemui di lokasi berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.17 petang sebelum enam buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Lintas dengan kekuatan seramai 42 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
"Api berjaya dikawal daripada merebak pada jam 3.52 petang dan setakat ini, kita masih melakukan pemeriksaan menyeluruh mengenai jumlah sebenar rumah yang musnah dalam kebakaran berkenaan.
"Berdasarkan maklumat awal, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan siasatan kini dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya.
#Hamsa Isnurdini #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #JBPM Sabah #Kampung Cenderamata Dua #Likas #Sabah #setinggan